Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kota Kemuning di Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 29 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

500 ekor ayam habis kurang sejam di jualan murah DUN Kota Kemuning

SHAH ALAM, 29 MEI: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning mendapat sambutan apabila 500 ekor ayam dan 300 papan telur ayam habis dijual kurang sejam.

Turut mendapat sambutan di jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu adalah keperluan harian lain seperti beras, daging, ikan serta minyak masak botol.

Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kota Kemuning di Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 29 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Penolong Pengurus Kewangan Sektor Pemasaran PKPS, Nureen Mashi Mohd Fathil berkata semua barangan dibawa adalah keperluan harian dan khusus untuk penduduk setempat.

“Barangan paling laris ialah ayam dan telur, yang mana kebanyakan pengunjung mesti beli. Namun, barangan lain juga dinanti penduduk kerana dijual pada harga murah.

“Malah, ketika saya tiba di lokasi pada jam 8 pagi sudah ada penduduk menunggu untuk mengambil nombor giliran,” katanya ditemui di tapak pasar malam Kampung Baru Hicom di sini hari ini.

Katanya jualan bermula jam 10 pagi itu berjalan lancar dengan kerjasama daripada persatuan penduduk kawasan itu.

Program jualan murah berkenaan menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Petugas membuat persiapan untuk jualan program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kota Kemuning di Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 29 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Inisiatif itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga Mei.


Pengarang :