Peserta membuat pendaftaran sebelum menjalani Ujian PCR Virus Papiloma Manusia (HPV) Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wanita digalak jalani ujian pengesahan awal kanser secara percuma oleh kerajaan

KEPALA BATAS, 29 MEI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan kaum wanita menjalani ujian pengesahan awal kanser payudara dan kanser pangkal rahim secara percuma yang disediakan kerajaan.

Timbalan Menterinya Aiman Athirah Sabu berkata kementerian, melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), sentiasa berusaha untuk mengurangkan statistik wanita tercicir daripada mendapatkan kedua-dua ujian pengesanan ini.

“Berita baiknya adalah sepanjang Mei ini sempena meraikan Hari Ibu, selain dua-dua ujian ini (ujian Mamogram dan HPV DNA), ujian BMI, tekanan darah, kolesterol dan glukos diberikan secara percuma kepada semua wanita yang layak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Aiman Athirah Sabu berucap pada Majlis Sumbangan Tabung Kasih kepada waris mangsa keganasan rumah tangga di kementerian itu pada 31 Januari 2023. Foto BERNAMA

“Selepas Mei sehingga hujung tahun, Ujian Mamogram dan HPV DNA masih diteruskan secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesejahteraan Wanita: Kanser Wanita dan Gaya Hidup di sini hari ini.

LPPKN telah menjalankan Program Subsidi Ujian Mammogram ini sejak 2007 dan sehingga April 2023, 47,166 wanita di Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Sementara Program Saringan Kanser Serviks menggunakan Ujian HPV DNA telah dilaksanakan sejak 2019, menyaksikan sehingga April 2023, 2,867 wanita di Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada program itu.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN Hairil Fadzly Md Akir berkata kefahaman dan kesedaran untuk pengesanan awal kanser sangat penting dalam menangani peningkatan kes kanser masa kini.

Menurut beliau, kanser payudara adalah penyumbang kanser paling tinggi dalam kalangan wanita di Malaysia diikuti kanser kolorektal dan kanser serviks.

“Data Laporan Kanser Kebangsaan 2012-2016 menunjukkan peratus kes yang dikesan pada tahap lewat iaitu pada tahap tiga dan empat menunjukkan peningkatan iaitu 47.9 peratus berbanding 43.2 peratus dari Laporan Kanser Kebangsaan 2007-2011.

“Tren ini sangat membimbangkan dan jika tiada langkah diambil untuk menggalakkan lebih ramai wanita terutama yang berisiko tinggi menjalani ujian saringan ini, kadar kematian akibat kanser payudara akan meningkat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :