SHAH ALAM, 29 MEI: Walaupun menghidap sakit tulang belakang (slipped disc) dan bertongkat, ia tidak menghalang ibu tunggal untuk membeli barangan keperluan harian di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning hari ini.
Rubaiyah Tinggal, 48, berkata dia bersemangat untuk membeli barangan keperluan harian di jualan murah berikutan harga ditawarkan murah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-JER-9-500x333.jpg.webp)
“Anak sulung sudah bekerja manakala yang kedua belajar di Cyberjaya. Saya tidak mahu terlalu bergantung dengan anak dan sebab itu apabila ada jualan murah pasti datang biarpun bertongkat.
“Jualan murah ini sangat membantu dan saya memang menantinya setiap minggu. Alhamdulillah, selagi berkemampuan pasti datang dan jiran membantu selain mereka tidak kisah untuk beri keutamaan kepada saya,” katanya ditemui di jualan murah di tapak pasar malam Kampung Baru Hicom di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-JER-6-500x333.jpg.webp)
Sementara itu, Eddie Shaharudin,46, berkata jualan murah Kerajaan Negeri itu meringankan beban kerana beri penjimatan dalam perbelanjaan dapur.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-JER-11-500x333.jpg.webp)
“Sebagai ketua keluarga yang perlu menyara anak masih bersekolah sudah pasti jualan murah ini membantu kerana dapat kurangkan belanja dapur dan boleh gunakannya untuk keperluan lain.
“Saya memang datang setiap kali ada jualan dan berharap ia diteruskan kerana membantu golongan kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah,” katanya.
Program jualan murah tersebut menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-JER-1-500x333.jpg.webp)
Inisiatif itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-JER-3-500x333.jpg.webp)
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga Mei ini.