Kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bergambar dengan peserta program kitar semula minyak masak terpakai di bangunan MPS pada 24 Mei lalu. Foto Facebook MPS
PBTSELANGOR

MPS kumpul 381 kilogram minyak masak terpakai untuk kitar semula

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 31 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berjaya mengumpul 381 kilogram minyak masak terpakai sempena program kitar semula bahan itu pada 24 dan 25 Mei lalu.

Yang Dipertuanya Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata program sempena sambutan Hari Guru, Hari Ibu dan Hari Jururawat itu melibatkan 135 peserta.

“Jumlah minyak masak terpakai yang dikumpulkan kali ini meningkat sebanyak 246 peratus daripada jumlah kutipan yang diperolehi pada tahun lalu iaitu 110 kilogram.

“Kutipan ini akan dijual semula kepada syarikat pemprosesan untuk dijadikan bahan biodiesel selain lilin untuk cenderahati korporat,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Bulanan MPS di bangunan lama MPS hari ini.

Mohd Yazid seterusnya menyeru masyarakat untuk membudayakan amalan kitar semula dan menjaga kebersihan persekitaran bagi menjamin kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar.

Sebelum ini, MPS melalui Facebook mempelawa orang ramai menyertai program kitar semula minyak masak pada 24 dan 25 Mei di lobi bangunan lama MPS.

100 pengunjung bertuah terdiri daripada guru, jururawat dan golongan ibu yang membawa minyak masak melebihi tiga kilogram pada hari tersebut membawa pulang hadiah saguhati.


Pengarang :