Gambar terakhir pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim yang diterima sherpa selepas beliau tiba di puncak Everest pada 18 Mei 2023. Foto Malaysia Everest 2023
AGENDANASIONAL

Misi mencari dan menyelamat pendaki Malaysia berbaki empat hari

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim kini berbaki empat hari sahaja lagi.

Timbalan Presiden Kelab Eksplorasi Altitud Murshid Maktar memaklumkan operasi SAR bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa kastam negara itu yang masih belum memberi pelepasan dron yang dihantar menggunakan khidmat kargo dari Malaysia.

“Sekarang kami dalam proses pengeluaran dron daripada pihak kastam Nepal memandangkan ada cukai tertentu perlu dibayar.

“Apabila dron itu sudah dibawa keluar, Insya-Allah kalau keluar esok, cuaca baik… dalam perbincangan kita akan terbangkan empat petugas dari Kathmandu ke kem 2.

“Mereka terdiri daripada dua orang dari team Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia iaitu Vincent salah seorang pendaki dan juga Ayu Wanirah Naharuddin yang merupakan pengurus base camp, dua lagi team dari Nepal yang juga pakar dron,” katanya lapor Astro Awani.

Dalam pada itu, penggunaan dron berteknologi tinggi itu dijangka dapat mengesan objek, sut pakaian atau kelengkapan lain yang digunakan Muhammad Hawari.

Sementara itu, Murshid berkata misi SAR juga bergantung kepada keadaan cuaca dan jika cuaca tidak mengizinkan, maka ia akan diputuskan kemudian sama ada diteruskan atau tidak.


Pengarang :