Aktiviti kanak-kanak di kolam renang Kompleks Renang Seri Siantan, Jalan Sungai Tua. Foto Facebook Kompleks Renang Seri Siantan
PBTSELANGOR

MPS sedia jurulatih renang percuma untuk kanak-kanak di Kompleks Renang Sri Siantan

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 31 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan jurulatih renang percuma untuk kanak-kanak di Kompleks Renang Seri Siantan, Jalan Sungai Tua di sini sepanjang cuti sekolah ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata jurulatih tersebut akan mengajar asas renang untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

“Bersempena dengan cuti sekolah, saya pasti ada di antara kita yang sedang mencari aktiviti yang menyeronokkan untuk anak-anak dan keluarga.

“Jemput datang ke Kompleks Renang Sri Siantan untuk menyerlahkan bakat renang anda dan kanak-kanak juga boleh belajar asas renang percuma,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Bulanan MPS di bangunan lama MPS hari ini.

Menurut Mohd. Yazid kompleks renang tersebut dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 8.30 malam (Isnin dan Jumaat selepas waktu tengah hari).

“Tiket yang dikenakan adalah sangat berpatutan iaitu RM4 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

“Pelbagai kemudahan juga disediakan kepada anda seperti bilik persalinan, tempat penonton, surau dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :