SHAH ALAM, 31 MEI: Sepasang suami isteri menjadi keluarga paling bertuah apabila mereka memenangi hadiah utama cabutan bertuah program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP).
Mohammad Shafiq Isnil Aizar, 35, dan isterinya, Noor Zamira Zulkifli, 37, masing-masing membawa pulang motosikal jenama Honda Wave Alpha 110cc bernilai RM6,000 yang dimenangi di JKSP Sepang dan Gombak.
Menurut Noor Zamira, keluarganya tidak pernah ketinggalan menghadiri setiap program jelajah bantuan rakyat itu di semua daerah kecuali di Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
“Dua JKSP itu saya tidak dapat hadir kerana kuarantin Covid-19 dan suami terpaksa bekerja. Apa pun, saya seronok bawa anak-anak ke JKSP.
“Di situ ada banyak perkongsian tentang Selangor, bantuan Kerajaan Negeri, ada permainan percuma untuk anak-anak dan mereka juga dapat kenal dunia luar,” katanya yang tinggal di Kuala Kubu Bharu.
Suri rumah itu menambah, motosikal yang dimenanginya akan dihadiahkan kepada anak sulung yang kebetulan menyambut hari lahir yang ke-18 hari ini.
Sementara itu, seorang petani dari Sabak Bernam gembira kerana pertama kali memenangi hadiah cabutan bertuah dalam hidupnya.
Abu Bakar Sulaiman, 50, berkata beliau akan memanfaatkan motosikal tersebut untuk bekerja dan bersiar-siar bersama dua anaknya.
“Ini pertama kali saya dapat cabutan bertuah. Sebelum ini tidak pernah dapat apa-apa pun. Saya akan guna untuk bawa anak-anak jalan di kampung,” katanya.
Terdahulu, mereka antara sembilan pemenang yang diraikan pada majlis penyerahan hadiah utama cabutan bertuah program JKSP di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Norita Mohd Sidek. Turut hadir Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor.