Sekitar poket talk bersama agensi untuk usahawan ketika Hits Hari Aspirasi Usahawan 2023 di Pustaka Raja Tun Uda pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hijrah sedia pinjaman modal RM50 juta, bantu usahawan kembang niaga

SHAH ALAM,31 MEI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyediakan pinjaman modal berjumlah RM50 juta kepada usahawan di negeri ini, kata pemangku ketua pegawai eksekutifnya.

Normaiza Yahya berkata dengan pinjaman modal itu, pelbagai skim bantuan disediakan khusus untuk usahawan yang mahu mempromosikan produk sekali gus mengembangkan perniagaan.

“Sehingga April lalu, sebanyak RM13 juta telah diberikan kepada usahawan yang layak. Masih ada lagi peruntukan dan peluang usahawan untuk mendapatkan pinjaman modal.

“Pelbagai skim disediakan Hijrah mengikut keperluan semasa usahawan. Setakat ini, kita tidak berhasrat melakukan penambahan kerana skim sedia ada mencukupi dan masih diteruskan,” katanya ditemui pada program Hijrah Tour Selangor (HITS) di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Tambah Normaiza, pihaknya kini memfokuskan bantuan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) yang dikhususkan untuk usahawan wanita negeri ini.

“Kita paling banyak terima permohonan Skim i-Bisnes kerana usahawan mendapat bantuan wang tunai bermula RM1,000 hingga RM100,000.

“Oleh demikian, kita mahu memperkasa Skim NaDI kerana jumlah peminjam agak sedikit berbanding skim- skim lain,” katanya.

Selain NaDI dan i-Bisnes, Hijrah menawarkan skim pembiayaan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka iaitu Zero to Hero, Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.

Pembiayaan itu boleh dimohon menerusi pautan http://mikrokredit.selangor.gov.my/e-hijrah/login dan maklumat lanjut di www.hijrahselangor.com.


Pengarang :