Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua,kanan) menyampaikan baucar korban kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (dua,kiri) sempena majlis perasmian program sumbangan korban di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 3 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sempena ibadah korban, setiap ADN terima empat ekor lembu, 10 kambing

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukan empat ekor lembu dan 10 ekor kambing untuk setiap 56 Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan sempena Aidiladha itu diharap memudahkan wakil rakyat menganjurkan sendiri majlis korban atau bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ia bertepatan dengan tradisi sumbangan lembu dan kambing sempena Aidiladha kepada masjid, surau serta badan bukan kerajaan (NGO) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak sekian lama.

“Untuk sambutan Aidiladha kali ini kita teruskan tradisi dengan beri peruntukan empat ekor lembu dan 10 ekor kambing untuk setiap ADN.

“Mereka juga boleh serahkan (sumbangan) kepada mana-mana surau atau masjid yang dirasakan layak. Ini bukan tahu  pertama jadi saya percaya masing-masing sudah ada perancangan untuk laksanakan ibadah korban,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) 2023  di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan sebanyak 300 masjid dan surau terpilih menerima sumbangan ibadah korban daripada Kerajaan Negeri sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Pada 7 Mei lalu, EXCO pemodenan pertanian berkata sejumlah RM6 juta diperuntukkan bagi sumbangan ibadah korban tahun ini.

Ir Izham Hashim berkata peruntukan tahun ini bertambah berbanding tahun lepas berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000.

Selain itu, pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 ekor kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat haiwan korban serta melakukan gimik perasmian pada program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 3 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :