Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu bergambar bersama sempena Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Hari Ibu 2023 DUN Taman Templer di Dewan Seri Heritage, Restoran Pak Tam, Bandar Baru Selayang. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

PWB DUN Taman Templer rai golongan ibu, rancang program jana pendapatan

Oleh Shamz Johan

SELAYANG, 3 JUN: Lebih 200 wanita dirai pada Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Hari Ibu 2023 anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di sini, hari ini.

Penyelianya Nusaybah Norbawi berkata objektif program adalah bagi memberi penghargaan kepada golongan wanita selain mengeratkan silaturahim.

“Kita juga ingin menyelaras gerak kerja di peringkat DUN dan merancang pelbagai program-program bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan juga pihak-pihak lain.

“Pihak kami sentiasa melaksana pelbagai program dari semasa ke semasa untuk menjana pendapatan golongan ibu,” katanya selepas majlis perasmian.

Program turut diserikan dengan pertandingan membuat ‘Rantai Terpanjang’, ‘Catwalk’, pakaian tercantik dan cabutan bertuah.

Terdahulu, majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu dengan simbolik acara memotong kek.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri DUN Taman Templer Sany Hamzan, Ahli Lembaga Pengarah WBS Rawiyiah Zakaria dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Sukarelawan Setia Prihatin Malaysia (KSSPM) Datin Reny Rahayu Mohd Ishak.


Pengarang :