ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze meluncurkan buku ‘My Story Beneath Calm Waters’ bersama tetamu jemputan di Sunway Pyramid, Subang Jaya pada 3 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Subang Jaya tulis buku untuk kumpul dana PRN

Oleh Diana Abd Wahab

SUBANG JAYA, 4 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya menghasilkan karya ‘My Story: Beneath Calm Waters’ demi mengumpul dana bagi perjalanan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Michelle Ng Mei Sze berkata hasil jualan buku yang mengupas cabaran dan suka duka sepanjang beliau bergelar wakil rakyat itu akan disalur ke dalam akaun DAP USJ 6.

“Saya tidak mahu buku ini hanya mengenai dasar dan teori, saya cuba jadikannya lebih peribadi dengan selitkan beberapa kisah turun padang yang menginspirasikan beberapa dasar yang kita perjuangkan.

“Saya berharap naskhah nukilan mengenai perjalanan karier politik ini diterima baik masyarakat,” katanya.

ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze menandatangani buku selepas peluncuran buku ‘My Story Beneath Calm Waters’ di Sunway Pyramid, Subang Jaya pada 3 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku tersebut di sebuah pusat beli-belah di sini semalam. Turut dihadir veteran DAP Lim Kit Siang, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.

Kira-kira 100 pengunjung memeriahkan majlis berkenaan selain lebih 200 naskhah terjual dengan kebanyakan pengunjung membelinya secara pukal.

Michelle menambah pihaknya yakin buku yang berharga RM20 itu mampu terjual lebih 2,000 unit sepanjang Jun ini.

“Mereka yang berminat untuk dapatkan buku selepas majlis pelancaran boleh membelinya di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya di SS14,” katanya.


Pengarang :