Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual dengan harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Sungai Kembong, Klang pada 11 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah di 12 lagi lokasi sekitar DUN Sungai Burong sepanjang Jun

OLEH IMAN IZZIQRY

SHAH ALAM, 6 JUN: Sebanyak 12 lagi program jualan murah barangan asas akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong sepanjang bulan ini berikutan sambutan baik orang ramai.

Menurut Facebook Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong, program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang berlangsung mulai 10 pagi diadakan kali pertama di Dataran Astaka, kelmarin.

Jualan itu bersambung semula pada 12 Jun di Dataran Balairaya Parit 4, tapak pasar lorong 2, Sungai Sireh (13 Jun) dan Pusat Penerangan Agrotourism Sungai Sireh (14 Jun).

Ahli Dewan Negeri Sungai Burong Dato’ Mohd Shamsudin Lias (dua, kanan) berucap sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER), yang diadakan bersekali dengan Karnival Anak Muda di Tanjong Karang, pada 4 Jun 2023. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong

Lokasi lain seperti Surau Batu 10 Jalan Lama Kampung Melaka (15 Jun), Surau Kampung Bagan Pasir (17 Jun), simpang Jalan Raden Putih (18 Jun) dan Dataran Masjid Kampung Sungai Tengi (19 Jun).

Sementara itu, wakil rakyat Sungai Burong berterima kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) atas kejayaan penganjuran JER, yang dinantikan penduduk setempat.

“Terima kasih kepada PKPS yang menyediakan barangan mencukupi dengan harga berpatutan. Kebanyakan pembeli daripada golongan amat memerlukan,” kata Dato’ Mohd Shamsudin Lias.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah di Facebook Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :