Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah di Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Taman Desawan, Klang pada 6 Jun 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hujan lebat tidak halang 450 penduduk kunjungi jualan murah DUN Sentosa

Oleh SHAMZ JOHAN

KLANG, 6 JUN: Hujan lebat sejak 8 pagi tidak menghalang lebih 450 penduduk Taman Desawan berkunjung ke Jelajah Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di sini hari ini.

Pengurus Kejuruteraan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Ridwan Azmi berkata khemah tambahan dipasang pihak DUN sebelum jualan dibuka bagi keselesaan pengunjung.

Pengurus Kejuruteraan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Ridwan Azmi. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Jualan berjalan lancar walaupun hujan, mujur khemah tambahan sempat dipasang ketika pengunjung mula penuhi lokasi jualan pada jam 8.30 pagi.

“Kerjasama PKPS bersama DUN dan wakil masyarakat juga bertambah baik. Semua pihak jalankan peranan masing-masing bagi menjayakan program ini,” kata ketika ditemui.

Pada jualan murah berkenaan, lebih 500 ekor ayam dan 300 papan telur terjual menjelang 11.30 pagi dan jualan juga ditutup awal sejam kemudian selepas hampir kesemua bekalan barang habis terjual.

Tambah Mohd Ridwan, berikutan program JER yang akan disambung sehingga September, beberapa perubahan dan penambahbaikan akan dibuat susulan maklum balas orang ramai.

“Apapun, penambahbaikan tersebut samada tambahan barang atau lokasi akan diumumkan kelak. Orang ramai boleh terus mengikuti maklumat terkini melalui laman web PKPS atau saluran media sosial kami,” katanya lagi.

Sebahagian pengunjung berteduh bawah khemah sementara menanti giliran membeli barangan murah pada Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Taman Desawan, Klang pada 6 Jun 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah yang sepatutnya berakhir pada Mei diteruskan hingga 1 September ini.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :