Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Kampung Nakhoda Tengah, Gombak pada 6 Jun 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

400 pengunjung serbu jualan murah, lima barangan habis dalam dua jam

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 6 JUN: Lima barangan asas yang dijual pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Kampung Nakhoda Tengah di sini habis dalam tempoh dua jam.

Penolong Pengurus Logistik PKPS Mohd Hasri Abu Hassan berkata barangan berkenaan membabitkan 300 papan telur, 500 ekor ayam, 300 pek ikan, 300 pek daging beku dan 300 kampit beras lima kg.

“Kita pastikan pembeli tidak pulang dengan tangan kosong. Bagaimanapun pembeli yang datang selepas pukul 12 tengah hari hanya dapat beli minyak masak lima kg yang masih berbaki 70 botol,” katanya yang ditemui selepas jualan tamat.

Program yang bermula 10 pagi tadi dihadiri lebih 400 pengunjung dengan sebahagiannya sudah memenuhi khemah jualan sejak 7.30 pagi.

“Penganjur sediakan 350 nombor giliran dan pembeli yang datang lewat dibenarkan beratur selepas itu,” katanya sambil memberitahu telur, ayam dan daging sentiasa mendapat permintaan daripada pembeli.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah yang sepatutnya berakhir pada Mei diteruskan hingga 1 September ini.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :