Juruukur Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Safiee Junun memantau kerja pemecahan simen konkrit ketika operasi peruntuhan struktur atas longkang di Jalan USJ 1/19, Subang Jaya pada 7 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ roboh binaan haram atas longkang di Taman Subang Permai

SUBANG JAYA, 7 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meroboh binaan haram di atas longkang di Jalan USJ 1/19 dan USJ 1/20, Taman Subang Permai di sini hari ini.

Pengarah korporat dan pengurusan strategiknya berkata tindakan dibuat selepas 25 pemilik premis terlibat ingkar notis awalan yang dikeluarkan pihaknya sejak Mac lalu.

“Selepas menerima notis Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), pemilik premis ini diberi masa sekurang-kurangnya 30 hari untuk membersihkan pembinaan haram atas longkang.

“Namun, apabila notis tamat kita dapati mereka tidak melaksanakan tanggungjawab itu sehingga kita bertindak melakukan operasi perobohan hari ini,” kata Muhammad Azli Miswan.

Kontraktor Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melakukan kerja pembersihan longkang ketika operasi peruntuhan struktur atas longkang di Jalan USJ 1/19, Subang Jaya pada 7 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurutnya, operasi bersepadu hari ini membabitkan 60 kakitangan MBSJ pelbagai jabatan termasuk kerjasama dengan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Beliau juga meminta pemilik premis tidak membina sebarang struktur tambahan di atas longkang kerana ia menyukarkan kerja pembersihan dan boleh menjadi punca banjir kilat.

“Pemilik premis juga perlu bertanggungjawab dengan struktur yang mereka bina secara haram itu sekali gus bantu memudahkan kerja semua pihak, jangan tunggu pihak berkuasa datang mengambil tindakan.

“Selepas operasi ini, kita akan minta kerjasama daripada KDEBWM untuk membersihkan sisa sampah dan struktur binaan yang diroboh supaya tidak beri kesan kepada peniaga sekitar,” katanya.

Muhammad Azli menambah MBSJ akan mempergiatkan lagi operasi perobohan binaan haram terutama di kawasan komersial yang menimbulkan kacau ganggu penduduk setempat.


Pengarang :