SHAH ALAM, 7 JUN: Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd (Kusel) melaksana tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi beberapa siri sumbangan kepada golongan memerlukan di negeri ini.
Pengarah urusannya berkata bantuan meliputi serahan al-Quran braille, penyediaan bot dan kelengkapan mendepani risiko bah selain agihan kepada asnaf dan fakir miskin.
Menurut Khairul Azmi Misran, agensi tersebut turut menaja beberapa acara negeri seperti majlis ulang tahun ke-15 Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), baru-baru ini.
“Usaha ini sebagai salah satu inisiatif menzahirkan sokongan terhadap program kebajikan, yang akan memanfaatkan rakyat khususnya penduduk Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Kusel, anak syarikat Kerajaan Negeri berperanan sebagai agensi sehenti bagi penyelarasan strategik koridor utiliti bawah tanah selain bermatlamat menjadi pelopor dalam pengurusan infrastruktur.