Pengunjung menunggu giliran untuk membeli barangan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pekarangan Pusat Khidmat DUN Kinrara, Puchong pada 7 JUN 2023. Foto AZAMIN AMIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Kinrara anjur lebih 50 kali jualan murah, tiga lokasi minggu ini

Oleh AZAMIN AMIN

SUBANG JAYA, 7 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menganjur lebih 50 kali Jualan Ehsan Rahmah (JER) sejak diperkenal Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) setahun lalu.

Wakil rakyatnya berkata tiga lagi lokasi penganjuran minggu ini di pusat khidmat masyarakat DUN di sini hari ini, Balai Masyarakat Bandar Kinrara 2 (Sabtu) dan Surau Ukasyah Bandar Kinrara 4 (Ahad).

Menurut Sze Han, penganjuran JER bertujuan membantu golongan kurang mampu yang tinggal di tengah-tengah kepesatan bandar itu.

“Ada rumah kos rendah seperti Pangsapuri Enggang di Bandar Kinrara, Pangsapuri Mayang di Taman Puncak Jalil , Pangsapuri Sri Jati Taman Wawasan, Pangsapuri Ceria di Taman Kinrara 4 dan Pangsa Perdana di Puchong Perdana.

“Semua lokasi ini adalah lokasi tumpuan pusat khidmat masyarakat DUN Kinrara apabila menganjurkan program berbentuk kebajikan supaya bantuan sampai kepada yang berhak,” katanya.

Beliau yang juga EXCO kerajaan tempatan berkata setiap minggu JER dianjur di DUN berkenaan sejak bulan lalu dengan kedatangan lebih 300 pengunjung.

Terdahulu, kira-kira 350 penduduk beratur sejak jam 10 pagi di pekarangan pusat khidmat DUN bagi mendapatkan barangan asas yang mana program berakhir dua jam kemudian.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :