Peserta menyertai larian ‘IMR 123 Fun Run’ sejauh lima kilometer sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam pada 12 Februari 2023. Foto Ihsan MBSA
PBTSELANGOR

MBSA anjur hari tanpa kenderaan Ahad ini, banyak aktiviti menarik untuk seisi keluarga

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengajak orang ramai memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pada Ahad ini.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan berkata program dengan tema ‘Lebih Meriah, Lebih Versatile!’ menyediakan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga selain pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama Hospital Pakar Avicena.

“Aktiviti menarik seperti larian terbuka 5km, kayuhan santai, senamrobik dan zumba, persembahan buskers, persembahan kombo MBSA, aktiviti memanah, klinik silat, bengkel kesenian dan khemah permainan

“Selain itu, aktiviti untuk kanak-kanak pula antaranya Bubble Arts (GSA), perpustakaan bergerak, mewarna, kraf seni di Perpustakaan Anggerik Vanilla Parrot Brothers dan Petting Zoo,” kata Mohd Azhar Mohd Sharif menerusi kenyataan.

Beliau berkata, MBSA juga mengadakan program ‘Eco Free Market’ iaitu aktiviti penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma.

“Pengunjung hanya perlu membawa barangan kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin aluminium atau surat khabar lama bagi mendapatkan kupon yang boleh ditukar dengan barangan yang ditawarkan oleh penyumbang,” katanya.

Sempena program tersebut, MBSA turut menyediakan pejabat bergerak Shah Alam On Wheels dan bas pameran SEDA-10 (cari dan musnah AEDES 10 Minit) di Dataran Kemerdekaan MBSA, Seksyen 14 Shah Alam.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam atau saluran sosial media yang lain termasuk laman web www.mbsa.gov.my.


Pengarang :