Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 8 JUN: Keputusan program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri tahun lalu menunjukkan sebanyak 32 peratus daripada 22,767 peserta mengalami penyakit darah tinggi dan obesiti yang belum didiagnosis.
Menerusi infografik yang dikongsi di Facebook EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, bacaan tekanan darah tinggi adalah 180/110mmHg sementara tekanan stabil pada paras 130/80mmHg.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/exco-new-500x333.jpg.webp)
“Tahukah anda, 32 peratus keputusan Selangor Saring menunjukkan peserta mengalami penyakit darah tinggi dan obesiti yang belum didiagnosis.
“Tekanan darah yang kekal tinggi boleh menyebabkan komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar, kegagalan jantung dan kerosakan buah pinggang,” katanya.
Pada 31 Mei lalu, Dr Siti Mariah memaklumkan program Selangor Saring mencatat kadar kehadiran tertinggi dengan 22,767 individu atau 68.36 peratus mendapat manfaat sejak tahun lalu.
Program terbabit antara enam inisiatif diperkenal pentadbiran Selangor khusus untuk rakyat negeri ini bermula dari saringan percuma, bantuan kewangan dan pembiayaan.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi melaksanakan inisiatif tersebut, yang menyasarkan individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 1-800-22-6600 atau klik selangorsaring.selangkah.my/
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/07/jelajah-petaling-500x333.jpg)