EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Garis Panduan Penubuhan Pusat Jagaan, Rawatan Ibu Selepas Bersalin dan Bayi di Hotel Empire, Subang Jaya pada 8 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pusat jagaan mudahkan berpantang, sokongan buat ibu muda

SUBANG JAYA, 8 JUN: Pembinaan lebih banyak pusat rawatan selepas bersalin bakal menjadi sokongan kepada ibu muda terutama yang pertama kali melahirkan anak, kata EXCO kesihatan awam.

Berikutan itu, Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan pentadbiran negeri akan memastikan usaha tersebut berada pada landasan tepat selain menjamin perkhidmatan turut ditawar kepada golongan biasa.

“Zaman sekarang susah untuk keluarga menjaga ibu berpantang, jadi inisiatif ini memberi kelegaan. Kita mahu ingatkan pengusaha supaya tidak hanya tumpu pusat jagaan bertaraf lima bintang sahaja.

“Sebaliknya, kena sediakan juga pusat untuk golongan pertengahan supaya lebih ramai ibu muda dapat menggunakan perkhidmatan ini,” katanya dalam sidang media di Hotel Empire di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri seminar garis panduan pusat jagaan anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya, yang dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Inisiatif itu menjadikan Selangor negeri pertama mempunyai garis panduan jelas berhubung penubuhan pusat jagaan dan rawatan ibu selepas bersalin untuk rujukan pengusaha.


Pengarang :