Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 8 JUN: Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 pada 17 dan 18 Jun, kata EXCO pembangunan modal insan.
Mohd Khairuddin Othman berkata program bertempat di Pusat Konvensyen MBSA di sini menampilkan hampir 100 majikan dari pelbagai sektor termasuk perbankan, perhotelan dan hospitaliti, teknologi maklumat, pembuatan dan automotif.
“Pelbagai jawatan kosong turut ditawarkan menerusi sektor pendidikan latihan, makanan dan minuman, borong dan peruncitan serta pemasaran dan jualan,” katanya ketika dihubungi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/12/kerjaya-500x333.jpg)
Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 kali pertama berlangsung di lokasi sama pada 11 dan 12 Jun disertai lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri.
Terbuka kepada mereka yang dalam proses mencari kerja atau baru tamat pengajian, sesi temuduga bersemuka turut disediakan dalam program berkenaan.
Inisiatif tersebut berjaya membantu 1,996 individu mendapat pekerjaan. Individu yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang www.selangorjobportal.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.