EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berucap pada majlis penyerahan bantuan subsidi tambang bas SJK(T) Selangor 2023 di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 8 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantu wanita B40, negeri senarai kes syariah dalam khidmat guaman percuma

SHAH ALAM, 8 JUN: Kerajaan Negeri memasukkan kes syariah dalam senarai Dana Bantuan Guaman Selangor berkuat kuasa semalam bagi membantu wanita daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata sebelum ini dana berkenaan hanya terbuka bagi kes kekeluargaan (sivil) dengan peruntukan RM1 juta dan kini ditambah menjadi RM2 juta.

“Semalam, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kita bersetuju untuk memasukkan kes syariah dalam Dana Bantuan Guaman Selangor yang mana kita akan bekerjasama dengan Selangor Bar.

“Sebelum ini bantuan diberi kepada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah tetapi sekarang kita tingkatkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah turut boleh memohon dana ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan sumbangan subsidi tambang bas sekolah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Selangor di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau (tengah) bergambar bersama pada majlis penyerahan bantuan subsidi tambang bas SJK(T) Selangor 2023 di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 8 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Ganabatirau menambah subsidi bantuan guaman dinaikkan kepada RM3,000 berbanding RM1,500 sebelum ini dan beliau percaya tambahan itu dapat menarik minat lebih ramai peguam.

“Kita harap dengan bantuan guaman ini ia dapat memberi manfaat kepada individu yang benar-benar memerlukan bantuan berkaitan guaman.

“Ini juga merupakan bukti bahawa Kerajaan Negeri amat bertanggungjawab dan ingin membantu individu terutama golongan wanita yang teraniaya,” katanya.

Pada 25 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 mengumumkan skim bantuan guaman percuma bakal diperluas ke kes syariah bagi membantu wanita yang tertindas.

Selangor muncul negeri pertama menyediakan bantuan berkenaan dengan peruntukan RM1 juta menerusi penubuhan skim terbabit pada 24 Julai 2022.

Inisiatif tersebut bagi menyelesaikan isu kekeluargaan (sivil), pekerjaan serta kes kepentingan awam bagi memastikan masyarakat tidak ditindas dan terpinggir.

 


Pengarang :