Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Lelaki tikam kekasih 18 kali kerana cemburu

PETALING JAYA, 9 JUN: Gara-gara cemburu, lelaki warga India tergamak menikam sehingga 18 kali teman wanitanya menggunakan pisau pemotong buah di sebuah kondominium di Kelana Jaya di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata semuanya terbongkar selepas suspek yang berusia 30 tahun ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan setelah menceroboh landasan dipercayai untuk membunuh diri, sehari selepas kejadian.

Beliau berkata suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 hingga 6 petang, 2 Jun lalu.

Menurut Mohamad Fakhrudin suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

“Susulan itu, sepasukan polis telah ke lokasi seterusnya menemukan enam warga asing termasuk seorang wanita selain seorang lelaki tempatan di dalam unit kondominium terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata suspek kemudian menunjukkan bilik mangsa sebelum polis kemudian menemukan seorang wanita dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa selain menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan untuk membunuh.

Katanya mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai suami serta anak di India datang ke Malaysia bersama suspek kira-kira tiga bulan lepas menggunakan pas lawatan sosial.

Mangsa bekerja sebagai pendandan rambut di Kota Damansara manakala suspek sebagai pelayan restoran di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara.

Beliau berkata suspek bersama tujuh lagi penghuni kondominium berkenaan direman tujuh hari mulai 4 Jun lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

– BERNAMA


Pengarang :