Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong turun padang membantu orang ramai mendaftar skim air percuma Selangor pada 8 Jun 2023. Foto Facebook Elizabeth Wong
ADNSELANGOR

ADN turun padang bantu penduduk daftar skim air percuma

Oleh Iman Izziqry

SHAH ALAM, 10 JUN: Bagi memudahkan orang ramai mendaftar Skim Air Darul Ehsan (SADE), Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan mengambil inisiatif turun padang ke beberapa lokasi.

Elizabeth Wong berkata sambutan diterima sangat baik dan pendaftaran bergerak sudah diadakan di Bandar Sri Damansara, Taman Ehsan, Taman Bidara dan Kepong Ulu.

“Kami buka kaunter di kawasan yang kurang pendaftaran beberapa minggu ini, setakat ini jumlah borang yang telah diisi melebihi 1,500,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Elizabeth berkata, kaunter bergerak itu dapat menyelesaikan beberapa isu berkaitan pendaftaran program tersebut secara langsung.

“Ramai masih tidak tahu program air percuma ini dan bagi mereka yang mahu mendaftar diminta bawa salinan kad pengenalan serta bil air,” katanya.

SADE adalah program pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Selangor warga Malaysia dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.

Elizabeth memaklumkan, program pendaftaran bergerak itu turut membuka kaunter untuk penyertaan Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE).


Pengarang :