Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat Juwairiya Zulkifli berucap ketika majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita KEADILAN Selangor di Padang Awam kampung Permatang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN: KEADILAN pertaruh lapan calon wanita di Selangor

KUALA SELANGOR, 10 JUN: Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersetuju meletak calon wanita di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat Juwairiya Zulkifli berkata pimpinan wanita sedia ada di Selangor amat berpotensi dan memenuhi 30 peratus pencalonan wanita.

“Saya berharap kepimpinan negeri dan pusat dapat beri ruang serta peluang kepada wanita di Selangor kerana sudah tiga penggal mentadbir dan dibuktikan dengan khidmat bakti.

“Bagaimanapun, saya ingatkan walaupun tiga penggal jangan mendabik dada, teruskan berkhidmat kepada rakyat dengan beri kepercayaan kepada kita bukannya pembangkang,” ucapnya pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Selangor malam tadi.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor Rozana Zainal Abidin

Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN Selangor Rozana Zainal Abidin menggesa supaya jentera bersatu hati supaya negeri ini kekal ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Rapatkan saf, bersihkan diri dengan niat sebenar mengapa kita masuk politik dan bertanding. Namun, saya yakin dengan komitmen semua jentera kepimpinan kerajaan sedia ada dapat dikekalkan.

“Wanita akan sentiasa berada di lapangan tetapi diingatkan dalam bekerja keras wanita juga ada tuntutan antaranya memastikan sekurang-kurangnya pembabitan 30 peratus dalam membuat keputusan di setiap peringkat,” katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran yang berlangsung di Padang Awam Kampung Permatang itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :