Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman melepaskan orang ramai yang menyertai larian Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 11 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Lebih 2,000 meriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

Oleh Iman Izziqry

SHAH ALAM, 11 JUN: Lebih 2,000 pengunjung hadir memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pada sesi kedua bulan ini yang bermula dengan acara larian lima kilometer seawal 7 pagi di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman berkata program itu memberi peluang kepada orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di hujung minggu selain sebagai tanda prihatin kepada alam sekitar.

“Kita menutup laluan kereta dalam linkungan lima kilometer dari kawasan ini selama 4 jam dan kita mengadakan pelbagai acara untuk orang ramai beriadah, bersantai bersama keluarga di hujung minggu,” katanya.

Orang ramai yang menyertai Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 11 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau merasmikan program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan melepaskan kira-kira 500 peserta yang menyertai larian daripada tiga kategori iaitu ‘Fun Ride’, ‘Fun Run’ dan ‘Fun Walk’.

Acara lain termasuk kayuhan santai, senamrobik, persembahan pemuzik jalanan dan kombo MBSA, mewarna untuk kanak-kanak, ‘petting zoo’ dan karnival sukan rakyat oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam.

MBSA turut menyediakan pelbagai kaunter perkhidmatan seperti perpustakaan bergerak dan pameran SEDA-10.


Pengarang :