Fasa pertama projek pembangunan Rumah Idaman di Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang siap sepenuhnya awal Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Lanjut pengecualian duti setem rumah pertama galak pemilikan kediaman

GOMBAK, 11 JUN: Keputusan kerajaan pusat meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama akan menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau berharap inisiatif kerajaan itu membantu pembeli rumah pertama dan pembeli baharu terutama di Selangor untuk memiliki rumah.

“Sudah pasti akan membantu pembeli baharu (rumah pertama) untuk mendapatkan rumah.

“Setem duti agak besar amaunnya (terutama) bagi pasangan muda. Diharap inisiatif ini dapat menggalakkan pembelian rumah untuk pasangan muda (terutamanya) atau pembeli rumah pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara (HBN) Selangor 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama untuk menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Menurut Kementerian Kewangan layanan duti setem ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023.

Di bawah Program Pemilikan Rumah (Home Ownership Programme-Hope), pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Antaranya, pengecualian duti setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000 dan pengecualian duti setem 75 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta.


Pengarang :