AGENDAJENAYAH

Sembilan lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh

KUANTAN, 12 JUN: Polis menahan sembilan lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduan di hadapan sebuah premis kedai di Sri Jaya, Maran, dekat sini semalam seperti dalam satu rakaman video yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman, berkata dalam insiden 1 tengah hari itu, tiga suspek cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Maran.

“Siasatan awal mendapati punca pergaduhan akibat salah faham yang mana salah seorang suspek telah meletakkan motosikal di belakang sebuah kereta dan menghalang laluan sehingga berlaku pertengkaran dengan pemandu,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 23 hingga 59 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Norzamri memohon semua pihak tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam selain merakamkan penghargaan di atas kerjasama masyarakat sehingga pihaknya dapat menangkap suspek.

Terdahulu, tular video berdurasi lebih 20 saat di aplikasi WhatsApp yang memaparkan insiden pergaduhan membabitkan beberapa individu.

– BERNAMA


Pengarang :