AGENDAJENAYAH

Budak lelaki 11 tahun tular pandu kereta ditahan

SHAH ALAM, 12 JUN: Tindakan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta milik bapanya di Jalan Banting-Pandamaran, Klang Jumaat lalu mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihak polis turut menahan bapa kanak-kanak itu berumur 49 tahun di sebuah rumah di Pandamaran dekat sini jam 1.15 tengah hari.

Beliau berkata pihaknya menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima satu klip video yang ditularkan menerusi media sosial berdurasi 1.21 minit.

“Klip berkenaan memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna ‘silver’ yang dipercayai berlaku pada Jumaat lepas kira-kira jam 6 petang.

“Bertindak atas maklumat, IPD Klang Selatan membuat serbuan di sebuah rumah di Pandamaran. Polis menahan pemilik kenderaan dan kanak-kanak lelaki yang dipercayai pemandu kereta dalam video ditularkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kedua-dua individu serta kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Trafik, IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut.

Cha berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 APJ 1987 iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak leka dan sentiasa mengawasi gerak-geri anak masing-masing supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

– BERNAMA


Pengarang :