Orang ramai membeli barangan keperluan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Sungai Ramal di Sungai Tangkas, Kajang pada 12 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bertuah jadi rakyat Selangor, dapat beli barangan asas murah berulang kali

Oleh Fhatihah Zakinan

KAJANG, 12 JUN: Orang ramai mengakui cukup beruntung kerana dapat membeli barangan asas lebih murah secara berulang kali menerusi program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri

Bagi Norsadiah Mohd Norman, 46, dari Sungai Ramal Dalam, penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat banyak menjimatkan perberbelanjaan dapur golongan berpendapatan rendah.

Norlela Ramli. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Saya rasa bertuah kerana jualan ayam, ikan, telur, beras dan pelbagai lagi keperluan asas diadakan hampir pada setiap hari.

“Rasa untung jadi warga Selangor, sebab barangan asas di JER cukup murah lebih-lebih lagi bagi saya yang memperuntukkan perbelanjaan bulanan kepada penghuni rumah anak yatim di Seksyen 3, banyak penjimatan boleh dibuat.

“Saya akan cari program jualan berdekatan dan kumpulkan barangan asas untuk diberi anak yatim, sehingga warga PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) sudah hampir kenal muka saya di JER,” katanya ditemui di JER DUN Sungai Ramal, Sungai Tangkas di sini, hari ini.

Norlela Ramli. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Penduduk Dengkil, Norlela Ramli, 42, berkata dia membeli ayam bersaiz besar serta seberat dua kilogram dengan harga RM10 di JER.

Dia yang sudah lebih 20 kali ke program itu mengakui sentiasa mengikuti perkembangan lokasi jualan serta berharap program JER dikekalkan.

“Biasanya setiap minggu ada JER di Dengkil, tapi sudah lebih seminggu tidak ada. Jadi saya ke Sungai Ramal kerana ada JER paling dekat.

“Siapa tak mahu ayam besar dua kilo dengan hanya RM10. Memang murah, jimat, berbaloi untuk saya suri rumah yang mempunyai tujuh anak,” katanya.

Bagi warga emas Mahidin Kadar, 62, dari Taman Desa Putra, ini kali pertama dia berkunjung ke JER dan mahu ia diteruskan sampai bila-bila.

Mahidin Kadar. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“JER menawarkan banyak penjimatan belanja dapur. Semoga pimpinan sekarang meneruskan inisiatif ini sepanjang tahun,” katanya.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Beliau menambah JER kendalian PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri, mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya.

JER menjual seekor ayam standard RM10, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membeli barangan keperluan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Sungai Ramal di Sungai Tangkas, Kajang pada 12 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Pengarang :