Oleh Nas Norziela Nasbah
PANDAN INDAH, 12 JUN: Sejak tahun lalu, Salmah Dahlan, 71, menjadikan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) lokasi wajib dikunjungi untuk mendapatkan barangan asas pada harga murah.
Malah warga emas yang menetap di Cheras Baru itu sentiasa bertanyakan rakan, anak-anak serta saudara mara jadual JER terutama yang berdekatan dengan rumahnya.
“Saya banyak berjimat apabila berbelanja di program ini, jika ada penganjurannya saya pasti pergi terutama apabila kawan-kawan ajak.
“Kadang-kadang anak minta tolong beli barang asas seperti ayam dan beras kerana mereka bekerja,” katanya ketika ditemui di JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, di sini, hari ini.
Pengunjung lain, Zulkapli Mohd Yusuf, 64, berkata dia tidak lepaskan peluang setiap kali program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diadakan terutama di DUN berkenaan.
Bapa tiga anak dan empat cucu itu berkata dia dan isteri bergilir-gilir membeli barang asas seperti ayam, telur, minyak masak dan beras kerana ia dijual murah apatah lagi dirinya tiada pendapatan tetap.
“Setiap kali JER dianjurkan di kawasan berdekatan atau jauh sedikit saya pergi. Harga yang dijual sangat murah dan meringankan beban golongan berpendapatan rendah seperti kami.
“Harapan saya jualan ini diteruskan sampai bila-bila kerana ia membantu penduduk mendapat barangan asas untuk meneruskan kehidupan masing-masing. Mungkin selepas ini dapat diperluaskan dengan jualan sayur-sayuran atau bahan mentah lain,” katanya.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
Orang ramai boleh menyemak lokasi jualan murah di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.