Orang ramai membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Surau Taman Sri Angsana Hilir Ampang Jaya pada 12 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Hebah lokasi jualan murah di media sosial, pastikan penduduk Pandan Indah tidak terlepas

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

AMPANG JAYA, 12 JUN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah memanfaatkan media sosial untuk menghebahkan lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) bagi memastikan penduduk tidak terlepas peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah.

Pengurus pusat khidmat DUN berkenaan Nariza Zain berkata sambutan baik itu dapat disaksikan dengan kehadiran ratusan pengunjung yang tiba dua jam lebih awal disetiap penganjuran jualan murah.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah Nariza Zain. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Penduduk mengikut rapat setiap pergerakan JER DUN Pandan Indah yang dipromosikan melalui hebahan di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

“Memandangkan pengunjung terpaksa beratur dan ada kala barangan asas yang dijual hampir kehabisan stok sebelum jam 1 petang, kami cuba untuk hadkan pembelian daripada dua kepada satu barang bagi memastikan semua berpeluang membeli,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu beliau meninjau program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di Surau Taman Sri Angsana Hilir, di sini.

Pada jualan murah berkenaan, kesemua barang asas seperti ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak habis terjual sebelum jam 12 tengah hari.

Orang ramai membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Surau Taman Sri Angsana Hilir Ampang Jaya pada 12 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah yang sepatutnya berakhir pada Mei diteruskan hingga 1 September ini.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :