SHAH ALAM, 12 JUN: Pembinaan rumah baharu dan membaiki rumah penjawat awam menjadi antara tumpuan kerajaan tahun depan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pelaksanaannya dimulakan selepas isu tandas dan kemudahan asas di sekolah selesai.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/PM-1-1-500x315.jpg.webp)
“Perumahan penjawat awam, ke mana pun saya pergi (termasuk) ke Lok Kawi (contohnya) rumah tentera teruk benar, rumah (anggota) di penjara ke Sungai Buloh dan guru-guru.
“Jadi sebab itu saya kata bila kita tegas, hasil pun bertambah dan hasil ini digunakan untuk bela nasib miskin, (baik pulih) sekolah anak-anak kita dan klinik-klinik desa untuk perubatan, keluarga terutama ibu bapa dapat layanan setimpal (dan) baik.
“Sebab itu untuk tahun depan kalau boleh selesai masalah tandas dan kemudahan asas sekolah saya akan tumpu rumah penjawat awam supaya elok, ini termasuk rumah baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Bersama Penjawat Awam Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah yang dihadiri lebih 1,000 penjawat awam Selangor di sini, hari ini. Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/PM-3-1-500x322.jpg.webp)
Anwar berkata kepimpinan dan dasar kerajaan yang jelas dapat menarik pelabur sekali gus membuka peluang pekerjaan dan lebihan hasil akan dipulangkan untuk manfaat rakyat.
“Jadi bagaimana untuk jana pertumbuhan? Kita akan dapat pelaburan dengan keyakinan terhadap kepimpinan dan dasar. Jadi kita (perlu) pastikan dasar (yang dirangka) itu mampu menarik pelaburan.
“Apabila pelaburan masuk, ringgit kukuh dan peluang pekerjaan datang. Hasilnya kita pulangkan kepada rakyat,” katanya.