Skuad Harimau Malaya menjalani latihan menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 12 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDASUKANKINI

Cabaran berbeza buat Harimau Malaya pada aksi persahabatan

SHAH ALAM, 13 JUN: Harimau Malaya akan berdepan lawan berbeza pada aksi persahabatan kali ini kerana Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea pasukan yang mempunyai kelebihan fizikal.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, ia satu pendedahan terbaik buat skuad bola sepak negara melihat sejauh mana mereka mampu berdepan dengan pasukan yang mempunyai fizikal lebih tegap.

“Ramai yang mempertikaikan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia umumkan kita akan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea kerana mahukan lawan di ranking yang jauh lebih baik.

“Namun, bagi saya, Papua New Guinea mungkin dari segi skil mereka tak banyak tapi mereka ada fizikal. Sama juga dengan Kepulauan Solomon yang berada di ranking lebih baik.

“Ini satu pendedahan yang baik untuk pasukan negara kerana sebelum ini kita selalu bermain dengan pasukan sama saiz dengan kita,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, pengendali skuad negara Kim Pan-gon menafikan pasukan yang dijemput dalam perlawanan persahabatan kali ini sekadar tangkap muat, sebaliknya yakin aksi kali ini akan memberikan banyak pengalaman kepada pemainnya.

Malah, pengendali kelahiran Korea Selatan itu menaruh harapan tinggi mahu melihat pasukannya mencatatkan kemenangan ke atas kedua-dua pasukan tersebut.

Sebagai rekod, Kepulauan Solomon berada di ranking ke-134 dunia, Papua New Guinea ranking ke-159 manakala Malaysia pada kedudukan 138.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Kepulauan Solomon esok dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu 20 Jun ini.


Pengarang :