Pengguna jalan raya menikmati tol percuma pada hari pertama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian tol melalui Tol Rahmah bermula 19 April hingga 21 April dan juga pada 24 April di Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 19 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Cadangan ambil alih konsesi lebuh raya bila kewangan stabil

SHAH ALAM, 13 JUN: Cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kadar tol di seluruh negara akan dibuat jika kedudukan kewangan negara stabil pada masa depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata usaha tersebut tidak dapat dilaksana ketika ini berikutan ia membabitkan kesan kewangan tinggi, lapor Berita Harian.

“Krajaan pada masa ini tidak bercadang mengambil alih mana-mana lebuh raya yang sedang beroperasi kerana memerlukan implikasi kewangan yang sangat tinggi.

“Kerajaan bersedia mempertimbangkan semula cadangan ini sekiranya keadaan kewangan dan fiskal negara mengizinkan kelak,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung komitmen kerajaan mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol bagi meringankan beban rakyat.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan inisiatif pengambilalihan empat konsesi lebuh raya di Lembah Klang menerusi Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR).

Lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Menerusinya, tiada kenaikan kadar tol di empat lebuh raya berkenaan sehingga tamat tempoh konsesi, sekali gus bakal memberi penjimatan bayaran pampasan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.


Pengarang :