Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat(JER) mengambil peluang membeli barangan keperluan yang berlangsung di pekarangan Masjid Darul Ibadah, Kampung Harmoni, Ijok pada 13 Jun 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah jimat belanja suri rumah, tidak perlu lagi ikat perut

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

KUALA SELANGOR, 13 JUN: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri melegakan penduduk Kuala Selangor khasnya suri rumah berikutan mampu berjimat lebih banyak.

Suri rumah Rosnah Mohd Diah, 41, berkata inisiatif Jelajah Ehsan Rakyat (JER) antara yang dinanti setiap minggu untuk membeli keperluan lebih murah berbanding harga pasaran.

Rosnah Mohd Diah

Ibu kepada lima anak itu juga mendedahkan dia sekeluarga tidak perlu mengikat perut berikutan program berkenaan menyantuni keluarga besar dan berpendapatan rendah (B40).

“Di rumah ada tujuh orang, jika tiada jualan murah seperti ini memang kami terpaksa berbelanja dengan berhemah dan ada masa perlu mengikat perut. Sekarang, saya dan suami mampu berjimat lebih RM100 untuk membeli barang keperluan lima anak kami,” katanya.

Seorang lagi suri rumah Samsiah Dollah, 38, yang menunggu sejak 8 pagi berkata program itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli barangan seperti ayam, daging, telur, minyak dan beras.

“Harga ayam yang murah iaitu RM10 seekor memang banyak bantu menjimatkan perbelanjaan kami kerana saya perlu masak seekor setiap hari untuk tiga anak yang sedang membesar.

“Bayangkan jika beli di luar seekor ayam bersaiz besar berharga lebih RM20. Jadi, saya harap program ini diteruskan, ditambah baik dan dilaksanakan lebih kerap di sini,” katanya.

Mat Yunus Swardi

Warga emas, Mat Yunus Swardi, 59, yang sudah empat kali berkunjung ke jualan murah itu memuji program berkenaan serta mendedahkan tidak lagi perlu mencatu makanan.

“Di sini, telur pun murah. Jadi setidak-tidaknya jika terdesak masih ada telur untuk isi perut. Saya harap kerajaan dapat memperluas keperluan asas lain seperti sardin,” katanya.

Dalam program yang berlangsung di pekarangan Masjid Darul Ibadah, Kampung Harmoni pagi tadi, lebih 500 ekor ayam dan 300 papan telur terjual dalam tempoh kurang dua jam selepas program bermula 10 pagi.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :