Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam ikut pelan asal demi manfaat rakyat

SUBANG JAYA, 13 JUN: Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dibuat mengikut rancangan asal yang dirangka pada 2008 untuk manfaat rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, projek yang melalui proses amalan terbaik turut dilaksana bersekali dengan pelan tebatan banjir dan penyuraian trafik di kawasan itu terutama pada waktu puncak.

“(Projek ini) akhirnya akan memberi manfaat kepada semua. Ia melibatkan tebatan banjir dan penyuraian trafik kerana kawasan di sana padat terutama pada lewat petang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis rancangan strategik pendidikan negeri di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melancarkan pelan tindakan strategik pendidikan dan logo baharu Yayasan Selangor di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 13 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kenyataan mengelirukan dan menjadikan perkara tersebut sebagai modal politik menjelang pilihan raya negeri (PRN).

“Kalau saya buat disebabkan PRN yang bakal tiba, saya buat (umum) awal bulan ini. Saya teruskan rancangan tertangguh ini, yang kini memasuki fasa kiraan harga supaya tidak melambung tinggi dan seimbang,” katanya lagi.

Minggu lalu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan projek KSSA kini dalam fasa penelitian reka bentuk dan komponen pembangunan sebelum dimuktamad bulan depan.

Projek itu dijangka siap pada 2026, seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 melalui perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad tanpa dana awam.

Pembangunan semula dibuat berikutan kos baik pulih dianggar menelan belanja RM787 juta. Antara 2013 hingga 2022, Sebanyak RM56 juta digunakan bagi menyelenggara dan membaiki kerosakan.

 


Pengarang :