Peserta seminar Pemantapan Sembelihan Halal Korban (Pelapah) 1444H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 15 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri agih 700 lembu, 1,000 kambing untuk ibadah korban

SHAH ALAM, 15 JUN: Proses agihan lembu dan kambing untuk ibadah korban tahun ini mula dilaksana dan dijangka selesai dalam masa terdekat, kata EXCO agama Islam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata agihan haiwan sembelihan sumbangan Kerajaan Negeri itu mengutamakan masjid luar bandar atau bilangan golongan berpendapatan rendah (B40) yang ramai.

“Kali ini Kerajaan Negeri agihkan 700 lembu dan 1,000 kambing kepada masjid, namun tidak semua masjid dapat lembu korban kerana kekangan peruntukan.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada seminar Pemantapan Sembelihan Halal Korban (Pelapah) 1444H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 15 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Agihan dibuat minggu lepas dan kupon diberikan kepada masjid serta mereka boleh memilih mana-mana lembu di panel yang dilantik,” katanya ditemui selepas merasmikan Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Korban (Pelapah) 1444H di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi memaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Veterinar melakukan pemantauan di panel lantikan.

“Tujuan adalah memastikan lembu untuk ibadah korban sentiasa sihat dan boleh disembelih,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini dan peruntukan tersebut bertambah berbanding tahun lalu berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000.

Pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 ekor kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor. Menerusi sumbangan itu, setiap 56 Ahli Dewan Negeri menerima empat ekor lembu dan 10 ekor kambing.


Pengarang :