SHAH ALAM, 16 JUN: Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Darussalam (UNIDA) Gontor menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kerjasama berkaitan bidang penyelidikan sukuk wakaf.
Pusat pengajian tinggi itu berharap penyelidikan bersama universiti dari Indonesia dapat dijalankan dengan jayanya dan memanfaatkan kedua-dua institusi.
MoA berkenaan ditandatangani Rektor UIS Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Rektor UNIDA Prof Dr. K.H. Hamid Fahmy Zarkasyi secara dalam talian pada 12 Jun.
“Dari pihak UIS, penyelidikan ini diketuai pensyarah Fakulti Pengurusan dan Muamalah Dr Zainab Aman dan dua penyelidik,” menurut UIS di Facebook.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/image_6483441-14-500x375.jpg.webp)
Sebelum ini UIS memaklumkan akan turut bekerjasama dengan pusat pengajian tinggi dari Jakarta Selatan, Universitas Darunnajah menerusi program pertukaran pelajar dan tenaga akademik.
UIS adalah pusat pengajian tinggi milik Kerajaan Selangor melahirkan 27,365 graduan antara 1998 hingga tahun lalu dengan pelajar semasa yang sedang mengikuti pengajian kira-kira 5,865 pelajar.