Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad meninjau pembinaan longkang Kampung Genting Malek pada 14 Jun 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNSELANGOR

Bina longkang kampung babit belanja RM26,000, elak bah berulang

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 16 JUN: Kerja baik pulih dan membina longkang baharu di Kampung Genting Malek, dianggar menelan belanja RM26,000 bagi mengatasi masalah banjir, kata penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

Saifuddin Shafi Muhammad berkata perbelanjaan yang dicadangkan Pejabat Daerah Tanah Hulu Selangor turut membabitkan pembinaan longkang sepanjang 70 meter bawah Projek Selangor Penyayang (PSP).

Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Longkang ini akan membawa aliran air daripada tanah tinggi terus ke takungan dan seterusnya ke sungai. Ini bagi memastikan masalah banjir di kawasan berkenaan dapat dielakkan.

“PSP (bina longkang) menelan belanja RM26,000 seperti dicadangkan oleh Pejabat Daerah Tanah Hulu Selangor melalui peruntukan yang dikelola Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali,” katanya di Facebook.

Pada 14 Jun, Saifuddin meninjau lokasi pembinaan longkang di Kampung Genting Malek dan jalan baharu di Kampung Sungai Kamin, Hulu Selangor.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan projek PSP bagi penurapan dan pembinaan jalan baharu sepanjang 300 meter di Kampung Sungai Kamin berjumlah RM50,000 siap dilaksanakan.

“Apa yang menggembirakan, kami berjaya membina jalan masuk baharu ke kediaman Pakcik Mat yang telah beliau mohon sejak 2020 lagi,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana tuntas menyelesaikan permohonan rakyat.

 


Pengarang :