EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada seminar Pemantapan Sembelihan Halal Korban (Pelapah) 1444H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 15 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tingkat sekolah agama, sedia panduan selepas tragedi 23 murid

SHAH ALAM, 16 JUN: Garis panduan sekolah agama persendirian di Selangor ditambah baik bagi mempermudah operasi institusi itu seterusnya meningkatkan tahap keselamatan murid.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata panduan itu dibuat pada 2019 berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Menjelaskan Baginda gusar tragedi kebakaran yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid pada 2018 berulang, beliau berkata panduan tersebut diikuti penubuhan Jawatankuasa Pasukan Khas.

Katanya, tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2021 diberi kepada sekolah agama demikian untuk memenuhi syarat garis panduan itu selain mempertimbang lanjutan tiga tahun kepada 416 sekolah agama.

“Jawatankuasa Pasukan Khas juga telah memulakan langkah penambahbaikan garis panduan sedia ada untuk dipermudahkan, melalui langkah tersebut maka hanya syarat minimum dikenakan
kepada pengusaha sekolah agama persendirian di Selangor,” katanya.

Kenyataan itu menangkis dakwaan tiga badan bukan kerajaan hari ini yang mendesak Kerajaan Selangor untuk memudahkan urusan kelulusan operasi sekolah berkenaan.

Mereka mendakwa pengusaha sekolah tersebut sukar mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

Mohd Zawawi kesal berikutan usaha pentadbiran negeri itu disalah tafsir sesetengah pihak seolah-olah cubaan untuk menghentikan usaha dakwah dengan menutup sekolah agama tersebut.

“Tuduhan ini merupakan tohmahan tidak berasas sesetengah pihak yang cuba memburukkan usaha murni Kerajaan Negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian,” katanya.

Beliau juga menegaskan usaha itu mendapat sokongan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi sekolah agama persendirian.

“Usaha kerajaan Selangor untuk mengangkat martabat sekolah agama persendirian diyakini memberi manfaat kepada pelajar dan ibu bapa di Selangor,” katanya.


Pengarang :