Pelajar sekolah menutup kepala menggunakan buku ketika pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya ketika tinjauan Media Selangor susulan cuaca panas yang melanda negara pada 11 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

39 kes berkaitan cuaca panas direkod, tiada kematian dilapor

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Sebanyak 39 kes kumulatif berkaitan cuaca panas direkodkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-16 hingga ME ke-23 iaitu dari 4 hingga 10 Jun lalu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah itu, 23 kes melibatkan kelesuan haba, kejang haba (11) dan strok haba (5).

“Bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah 10 kes di Kelantan, Sabah (9), Sarawak (8), Melaka (4), Terengganu (3), Kedah (2) manakala masing-masing satu kes di Pahang, Kuala Lumpur serta Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mengikut pecahan umur, golongan dewasa mencatatkan 25 kes, remaja sembilan kes, kanak-kanak tiga kes dan dua kes melibatkan warga emas.

“Tiada kes kematian baru akibat strok haba dilaporkan pada ME 23/2023. Ini menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal sebanyak satu kes sahaja iaitu yang dilaporkan pada 25 April 2023. Kesemua kes yang mendapat rawatan adalah stabil dan telah discaj,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata negara kini berada dalam Monsun Barat Daya dan El Nino lemah sehingga September 2023 yang berpotensi menyebabkan cuaca dalam negara menjadi lebih kering berbanding Monsun Barat Daya pada 2020 hingga 2022.

Beliau berkata keadaan cuaca kering yang berpanjangan itu juga berpotensi mengakibatkan paras air di empangan berkurangan sekali gus menyebabkan bekalan air bersih terganggu, kejadian kebakaran terbuka dan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai agar mengehadkan tempoh berada di kawasan panas terik dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas.

“Orang ramai juga digalakkan kerap minum air dan elakkan melakukan pembakaran terbuka. Sekiranya tidak sihat, dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :