Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) pada 24 Mei 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

LIMA’23 pemangkin promosi Malaysia sebagai destinasi perniagaan, pelancongan

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) baru-baru ini dilihat sebagai pemangkin dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan dan pelancongan di peringkat global selepas negara memasuki fasa peralihan pandemik Covid-19.

Ia terbukti apabila LIMA ’23, yang dianjurkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan bersama syarikat Alpine Integrated Solution Sdn Bhd (Alpine), berjaya memperoleh perjanjian bernilai RM17.6 bilion merangkumi kontrak berkaitan sektor pertahanan dan komersial.

Pengarah Urusan Alpine Anita Jacobson berkata LIMA ‘23 yang menyaksikan penglibatan lebih 600 pempamer meliputi 70 peratus syarikat antarabangsa itu, bukan sahaja membuka peluang perniagaan dengan kehadiran delegasi ternama dari luar negara, tetapi turut membantu industri pelancongan negara.

“LIMA itu sendiri adalah jenama yang mempromosikan bukan sahaja Langkawi malah Malaysia sebagai suatu destinasi, bukan hanya untuk pelancong tetapi juga perniagaan.

“Dengan perjanjian perolehan yang dicapai semasa LIMA, ia menunjukkan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk menjalin hubungan perniagaan dengan dunia. LIMA ‘23 sememangnya pemangkin untuk mempromosi Malaysia kepada dunia,” katanya.

Antara persembahan menarik aset-aset maritim pada perasmian Segmen Maritim LIMA sempena Pameran Maritim & Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) Resort World Langkawi pada 23 Mei 2023. Foto Twitter BERNAMA

Katanya dari segi aspek pulangan pelaburan (ROI), LIMA ’23 memberi peluang kepada pempamer berjumpa dengan pembeli potensi mereka dan 50 peratus daripada pempamer yang menyertai pameran edisi ke-16 ini telah menempah tapak untuk menyertai LIMA pada 2025.

Beliau berkata dalam sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) yang diadakan dalam tiga hari pertama sebanyak 146 syarikat telah terlibat dan 1,200 pertemuan dijalankan.

Bagi memperluaskan liputan mengenai LIMA ‘23, Anita berkata pihaknya melabur dengan membawa 100 media antarabangsa bagi menguar-uarkan pameran itu kepada dunia.

“Kita bawa 179 wartawan antarabangsa mewakili kira-kira 100 pertubuhan media dan ia berjaya. Ini kita lakukan supaya seluruh dunia tahu mengenai kejayaan LIMA’ 23 dan mereka (wartawan) gembira datang (ke LIMA) dan kata ia satu pameran yang hebat,” katanya.

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menampilkan kebolehan dan kepakaran melalui pelbagai aksi sepanjang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) yang berakhir 27 Mei 2023. Foto Bernama

LIMA ‘23 bertema “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” pada 23 hingga 27 Mei lepas melibatkan Kementerian Pertahanan bagi sektor pertahanan dan Kementerian Pengangkutan bagi sektor komersial.

Selain pameran aset pertahanan dan komersial, LIMA ‘23 turut menampilkan pertunjukan aerobatik daripada Tentera Udara Diraja Malaysia dan lima pasukan luar negara iaitu Rusia, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.

LIMA edisi seterusnya dijangka berlangsung pada Mei 2025.

— BERNAMA

 


Pengarang :