Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Ir Md Kamarzan Md Rais (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Program Discover PKNS 2023 di Tasik Antara Gapi pada 17 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pakej reka bentuk dalaman RM50,000 antara tawaran menarik dalam kempen Discover PKNS

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan pelbagai pakej khas menerusi Kempen Discover PKNS 2023 di Antara Gapi, Serendah, dekat sini, bagi pengunjung yang ingin membeli rumah PKNS.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) PKNS Ir Md Kamarzan Md Rais berkata antara pakej ditawarkan dalam kempen yang berlangsung hujung minggu ini, termasuk pakej reka bentuk dalaman menggunakan kelengkapan rumah jenama Samsung bernilai RM50,000 bagi unit terpilih.

“Turut ditawarkan pakej pembiayaan kos pindah milik dan penanggungan kos perjanjian jual beli (SPA) kepada semua bakal pembeli rumah PKNS dan mereka hanya perlu datang ke Discover PKNS 2023 untuk membuat tempahan bagi memiliki kediaman ideal mereka.

“Oleh itu, sempena kempen dua hari ini, saya menyeru orang ramai untuk berkunjung bagi menikmati diskaun dan pakej yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kempen tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Ir Md Kamarzan Md Rais (tengah) menanam pokok ketika Program Discover PKNS 2023 di Tasik Antara Gapi pada 17 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Projek-projek yang ditawarkan dengan pakej khas sempena Discover PKNS 2023 itu ialah rumah berkembar dua tingkat iaitu Cassia dengan luas binaan 2,375 kaki persegi dan harga jualan RM731,000 serta Azhara dengan luas binaan 2,796 kaki persegi dan harga jualan RM835,000.

Md Kamarzan berkata selain reka bentuk yang moden, keistimewaan projek rumah Cassia dan Azhara ialah persekitaran selesa, damai dan mudah diakses menerusi Lebuhraya Utara Selatan (Plus) serta berdekatan dengan Stesen KTM Komuter Serendah.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini juga, PKNS akan melancarkan satu lagi projek rumah teres dua tingkat di Antara Gapi dengan saiz lot 20’ x 65’ dan 22’ x 65’.

“Projek ini dijangka akan mendapat sambutan yang menggalakkan berikutan penawaran harga yang berpatutan bagi jenis berkenaan,” katanya.

Kempen Discover PKNS 2023 yang diadakan sejak 6 Mei lepas akan berlangsung hingga 29 Oktober ini di Kota Puteri, Gombak; Antara Gapi, Serendah; Selangor Cyber Valley, Cyberjaya; Kompleks PKNS Shah Alam dan berakhir di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Antara Gapi merupakan sebuah perbandaran terancang bertemakan panorama alam tropika seluas 952.67 ekar yang dibangunkan PKNS sejak 1998 dan terdiri daripada pelbagai komponen perumahan serta komersial, menawarkan pelbagai kemudahan kepada bakal pembelinya.

Bagi mereka yang ingin memiliki unit Azhara dan Cassia, kunjungi Galeri Jualan Hartanah PKNS di Pusat Perbandaran Antara Gapi atau ibu pejabat PKNS.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.pkns.com atau hubungi 03-5022 0188 (Eksekutif Jualan PKNS) / http://www.wasap.my/60109280187.

— BERNAMA


Pengarang :