Orang ramai mengambil peluang membeli barangan keperluan pada harga murah pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Kampung Matang Pagar, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 17 Jun 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga DUN Paya Jaras teruja dapat berjimat, harap jualan murah lebih kerap

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM, 17 JUN: Jelajah Ehsan Rahmah (JER) di DUN Paya Jaras hari ini terus mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 300 pengunjung hadir bagi mendapatkan barangan keperluan.

Menurut surirumah Adila Bidi, 35, ini merupakan kali keenam beliau berbelanja di jualan murah memandangkan harga barangan yang ditawarkan murah dan berpatutan berbanding di pasaran.

“Saya boleh beli barangan murah tetapi berkualiti di sini. Harga begini tidak dapat di mana-mana kedai atau pasaraya jadi banyak duit dapat dijimatkan di sini.

“Jika sebelum ini dengan RM50 saya hanya boleh dapatkan dua ekor ayam, tapi dengan jumlah sama pelbagai barangan seperti ayam, telur, ikan dan daging pun dapat dibeli,” katanya yang turut berharap jualan kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dapat dilaksana setiap minggu di DUN berkenaan.

Bagi A Kalaiyarasee, 60, program JER membantu ramai penduduk di kawasan sekitar berjimat bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu kami dengan menyediakan inisiatif ini.

“Meskipun penjimatan nampak kecil, tapi bagi mereka kurang berkemampuan dapat berjimat RM4 sudah besar nilainya pada mereka,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Taman Impian Indah.

Surirumah Mariam Elyawati Maksum, 40, pula lega kerana program JER sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas.

“Dengan empat anak yang masih kecil dan bersekolah termasuk seorang sindrom down, perbelanjaan kami enam beranak tentunya besar khususnya belanja dapur.

“Sejak program JER diadakan bukan saja kami dapat berjimat banyak malah tidak perlu sampai anak-anak terpaksa bercatu menikmati makanan,” katanya.

Terdahulu, orang ramai mula membanjiri khemah jualan JER DUN Paya Jaras di Kampung Matang Pagar sejak 8 pagi bagi mendapatkan nombor giliran walaupun jualan bermula 10 pagi.

Jualan murah berkenaan menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).


Pengarang :