Sukarelawan membantu warga emas yang selesai menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Berjaya harung krisis Covid-19, negeri sedia pelbagai bantuan untuk rakyat

SHAH ALAM, 20 JUN: Kurang dua tahun di tampuk kepemimpinan negeri, Dato’ Seri Amirudin Shari berdepan krisis Covid-19. Namun Dato’ Menteri Besar tidak tenggelam punca menguruskan ancaman global itu.

Segera menubuhkan Majlis Tindakan Khas Covid-19 Negeri Selangor diketuai mantan Menteri Kesihatan, pentadbiran menggunakan pengalaman Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sepenuhnya.

Pasukan khas itu bertanggungjawab menjejak virus yang kemudiannya dikongsi dengan pihak berwajib termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penubuhannya pada 10 Mac 2020 susulan 60 peratus pesakit yang dijangkiti virus itu membabitkan rakyat Selangor.

Kurang sebulan selepas kes pertama Covid-19 dalam negara, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19, khusus membantu golongan terkesan wabak.

Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tujuh inisiatif melalui peruntukan RM127.78 juta memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Yayasan Hijrah Selangor dan rakyat berpendapatan rendah.

Selepas 12 hari pengumuman, Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 dilancar dengan peruntukan RM272.5 juta. Ia membantu rakyat berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakej fasa kedua dirangka berdasarkan dua cabaran utama iaitu menggempur rebakan wabak dan menangani cabaran ekonomi.

Saringan komuniti besar-besaran dengan belanja RM1.3 juta mulai 11 April 2020 turut dipuji Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Selain itu, inisiatif Kerajaan Selangor menyediakan kit ujian penilaian kesihatan dicontohi kerajaan persekutuan menerusi Pakej Penjagaan Covid-19 pada 19 September 2021.

Selaku negeri penduduk paling ramai dan paling tinggi bilangan kes, Selangor menggandakan usaha menangani wabak dengan lebih 500,000 dos vaksin percuma pada Jun 2021.

Vaksin percuma

Langkah memberi vaksin menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) kemudiannya diiktiraf sebahagian Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ia diumum ketika mesyuarat Pelan Vaksinasi Lembah Klang Raya pada 16 Julai 2021 yang dipengerusikan Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaludin bersama Dato’ Menteri Besar.

Selvax melibatkan pembelian 2.5 juta dos vaksin Covid-19 untuk diberi percuma kepada pekerja dan golongan berpendapatan rendah di negeri ini. Ia menampung program vaksinasi PICK untuk lebih 6.5 juta warga Selangor atau kira-kira 20 peratus penduduk Malaysia.

Usaha itu membuahkan hasil. Selangor merekodkan jumlah suntikan tertinggi dengan 150,000 dos sehari pada Ogos 2021.

Bermula 7 September 2021 kes harian Covid-19 di Selangor menurun dari paras 3,000 kepada sekitar 1,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu, seperti dilapor portal covidnow.moh.gov.my

Sehingga 10 Oktober 2021, seramai 4.45 juta penduduk Selangor menerima satu dos suntikan vaksin bersamaan 68.1 peratus populasi hasil kerjasama Selvax dan PICK.

Gandingan Kerajaan Negeri dengan persekutuan berjaya menurunkan keluk kes wabak walau pernah mencatatkan lebih 8,000 kes sehari pada awal Ogos 2021.

Menyedari kesengsaraan rakyat dek pukulan wabak, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.9 juta dengan 12 inisiatif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Januari 2021.

Pada Jun tahun sama, Selangor memperuntukkan RM551.56 juta untuk 25 inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0. Ia melegakan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat negeri yang terjejas.

Beberapa inisiatif lahir dalam dua pakej berkenaan masih diteruskan sehingga kini untuk manfaat rakyat. Antaranya, Selangor Kerjaya dan program Agro Prihatin yang dijenama sebagai Jelajah Ehsan Rakyat.


Pengarang :