Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) merasmikan Projek Mekar sempena majlis pelancaran Tekad Pendidikan Kita Selangor (PTRS) di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri, Shah Alam pada 18 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kerajaan Negeri peruntuk RM100,000, lima sekolah rintis kempen kesedaran

SHAH ALAM, 18 JUN: Seramai 1,000 pelajar kurang mampu dari lima sekolah di negeri ini akan mendapat manfaat menerusi program kempen kesedaran dan penyediaan tuala wanita percuma.

Dijalankan selama enam bulan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek rintis dengan peruntukan RM100,000 itu selaras menangani kemiskinan haid dalam kalangan pelajar perempuan.

“Kalau berjalan dengan ‘cantik’, tahun depan kita akan memperluas kepada RM200,000 sebab pelaksanaannya dalam bentuk mesin layan diri (vending machine).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis pelancaran Tekad Pendidikan Kita Selangor (PTRS) di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri, Shah Alam pada 18 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kemungkinan benda ini (mesin layan diri) disalahguna atau dirosakkan dan kita ingin lihat keberhasilannya. Jadi pelajar terbabit akan dikenal pasti atau dicadang pihak sekolah,” katanya ditemui selepas melancarkan Tekad Pendidikan Kita Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Projek rintis melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tua, Gombak; SMK (Perempuan) Bukit Kuda, Klang; SMK Kapar, Klang; SMK Putra Perdana, Sepang dan SMK Kuala Selangor.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM200,000 bagi memberdaya kaum wanita termasuk kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita secara percuma.

Peruntukan itu menjadikan Selangor negeri pertama memperkenal program pemberian tuala wanita percuma.

 


Pengarang :