SHAH ALAM, 19 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan peruntukan fidyah berjumlah RM82,880 kepada 560 keluarga yang layak di lima daerah, Jumaat lalu.
Agensi itu di Facebook memaklumkan sumbangan dalam bentuk makanan asas bernilai RM148 setiap keluarga diserahkan di Petaling, Klang, Gombak, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
“Sumbangan diberikan dalam bentuk makanan asas seperti beras, tepung, minyak, gula, sardin, serbuk minuman coklat, kari ayam siap dimasak, biskut dan sebagainya menggunakan peruntukan fidyah Mais,” katanya.
Menurut Mais, agihan melibatkan kerjasama daripada 12 rakan strategik antaranya Masjid Ar Rahman, Pandamaran, Jabatan Pembangunan Negeri Selangor, Madrasah Irsyadul Quran Subang Jaya dan Pertubuhan Ehsan Penyayang Selangor.
Agensi juga mempelawa orang ramai yang belum menunaikan kewajipan membayar fidyah untuk berbuat demikian secara dalam talian menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php