Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 pada 23 Jun bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam majlis istiadat pengisytiharaan pembubaran DNS di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, Klang pada 19 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRN: Sultan ingatkan calon tidak sentuh isu agama, perkauman ketika kempen

KLANG, 19 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) termasuk penyokong tidak menggunakan isu agama dan perkauman sepanjang berkempen.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengingatkan kumpulan berkenaan supaya tidak memainkan isu sensitif yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat negeri ini.

“Beta ingin berpesan kepada calon dan penyokong mereka supaya menjalankan kempen PRN dengan berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang sedia ada.

“Mereka juga diingatkan tidak mencaci, menabur fitnah dan mengadu domba pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat negeri ini yang berbilang bangsa,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada istiadat pengisytiharan pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin berkenan membubarkan Dewan Negeri bagi memberi laluan kepada PRN setelah menerima menghadap Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pagi ini.

Turut berangkat ke majlis itu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Speaker DNS Ng Suee Lim, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Ahli Dewan Diraja Selangor.

 


Pengarang :