Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Lembah Jaya di pekarangan Dewan Orang Ramai Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 19 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah popular di luar bandar, bantu B40 beli keperluan

OLEH SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 19 JUN: Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjadi pilihan penduduk sejak dianjurkan tahun lalu, terutama di kawasan luar bandar.

Dijual 30 peratus lebih rendah daripada pasaran, pengurus perolehan PKPS memaklumkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) dinantikan golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk warga emas.

“Kita lihat kebanyakan pengunjung terdiri daripada warga emas dan keluarga B40 kerana harganya yang murah. Berikutan itu, pemilihan lokasi strategik amat penting,” kata Ahmad Fauzi Zainuddin.

Beliau ditemui pada program berkenaan di pekarangan Dewan Orang Ramai Taman Ampang Indah, yang dihadiri lebih 300 pengunjung untuk mendapatkan bekalan seperti ayam, ikan, telur dan beras.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program jualan murah yang dimulakan akhir tahun lalu diteruskan hingga 1 September, kali ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.


Pengarang :